MELAKA – Lebih 30,000 orang berhimpun bagi menyaksikan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini malam ini.
“Bapa Pemodenan Malaysia” itu tiba pada pukul 8.45 malam dan disambut dengan persembahan ‘Selamat Datang’.
Majlis bertemakan “Sayangi Malaysiaku: Malaysiaku Bersih’ itu dimulakan dengan ucapan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, Gobind Singh Deo.
Ucapan aluan turut disampaikan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari sebelum diakhiri dengan ucapan pelancaran oleh Dr. Mahathir.
Majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 itu diadakan di Melaka berikutan Banda Hilir pernah menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan negara pada 20 Februari 1956.
Dataran Pahlawan yang dikenali Padang Banda Hilir merupakan tempat bersejarah iaitu lokasi sambutan kepulangan rombongan kemerdekaan dari London diketuai Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi mengumumkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Perdana Menteri turut melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 yang akan menjelajah ke seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sejauh 6, 200 kilometer (km) pada majlis tersebut.
Jarak 6,200 km adalah simbolik Hari Kebangsaan ke-62 dan peserta konvoi akan berhenti di 62 perhentian dengan membawa mesej kenegaraan dalam inisiatif untuk menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang. – K! ONLINE











