WASHINGTON 3 Ogos – Kurang 24 jam Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghapuskan perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) 1987, beliau menyatakan hasrat membentuk perjanjian nuklear baharu yang lebih komprehensif disertai Rusia dan China.
RT News melaporkan, Trump sudah memaklumkan perkara itu kepada Rusia dan China, selain menyatakan kedua-dua negara ‘teruja’ berhubung isu tersebut.
Ini bukan kali pertama Trump menyatakan keinginan untuk mengurangkan pelan pembangunan senjata nuklear secara global.
Pada April lalu, Trump menegaskan matlamat utamanya adalah untuk ‘membendung’ sebanyak mungkin penghasilan senjata nuklear dunia.
Namun pada masa yang sama, pentadbiran Trump berbelanja berbilion dolar bagi meningkatkan keupayaan angkatan nuklear AS ketika Pentagon juga ‘membenarkan’ penggunaan senjata atom.
INF secara rasminya tamat semalam, enam bulan selepas pentadbiran Trump mengumumkan untuk keluar daripada perjanjian tersebut dengan mendakwa Rusia mencabul persetujuan itu kerana memiliki sistem peluru berpandu.
Rusia bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan menjelaskan bahawa sistem peluru berpandu berkenaan menepati syarat perjanjian INF dan menyelar AS sengaja mencetuskan propaganda bagi membolehkan Pentagon menghasilkan peluru berpandu baharu. – AGENSI











