SANAA 3 Ogos – Pemberontak Houthi Yemen memperkenalkan misil jarak jauh terbaharunya, Borkan 3, semalam langkah dipercayai mampu mengubah situasi perang antara kumpulan itu dan Arab Saudi.
Peluru berpandu jenis scud dan mampu mengelak daripada dikesan radar itu dilapor mampu mencapai sasaran sejauh 1,300 hingga 1,800 kilometer dan mampu menyerang mana-mana sasaran tentera dan ekonomi Arab Saudi.
Ini sekali gus mendedahkan bahaya kepada Arab Saudi yang ketika ini menjadi tuan rumah kepada jutaan jemaah haji.
Press TV melaporkan, Jurucakap Houthi, Brigadier Jeneral Yahya Saree berkata, Borkan 3 berjaya dilancarkan dari sebuah lokasi rahsia kelmarin dan mengenai tapak tentera di Dammam, Arab Saudi.
“Misil itu menjalani beberapa ujian dan mampu mengenai sasaran yang lebih jauh di Arab Saudi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan sekutu utama tentera perikatan diketuai Arab Saudi didakwa mengundurkan tenteranya dari Yemen berdasarkan kesimpulan perang itu ‘tidak dapat dimenangi’.
New York Times melaporkan, UAE mengeluarkan kenyataan itu semasa taklimat bersama penganalisis Barat, bulan lalu.
Sejak beberapa bulan lalu, Abu Dhabi secara terbuka mendakwa mereka sedang mengundurkan tenteranya di Yemen secara berperingkat.
Berdasarkan laporan awal, Abu Dhabi memberi beberapa alasan termasuk soal keselamatan domestik dan sokongan kepada usaha damai ditaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malah, ketegangan di Teluk Parsi antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) awal tahun ini, mendorong UAE memastikan pasukan keselamatan dan kelengkapannya dalam keadaan bersiap siaga.
Namun New York Times tidak merujuk laporan mereka kepada mana-mana pegawai kerajaan UAE. – AGENSI











