Langkah Aifa akhirnya tersekat - Utusan Malaysia

Langkah Aifa akhirnya tersekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Menjadi sandaran tunggal Malaysia dalam separuh akhir Kejohanan Skuasy Remaja Dunia nyata cabaran yang berat untuk dipikul oleh Aifa Azman apabila langkahnya tersekat hari ini.

Aifa, 17, bagaimanapun menunaikan janjinya untuk memberi tentangan terbaik kepada Jana Shiha sebelum tunduk 12-10, 12-14, 11-2, 14-16, 7-11 kepada pilihan kedua dari Mesir itu dalam pertarungan sengit di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Kekalahan juara remaja Terbuka Britain itu bermakna tiada lagi kelibat pemain Malaysia apabila perlawanan akhir berlangsung esok, dan tidak hairanlah mengapa keputusan itu diterima dengan penuh emosi dan air mata oleh Aifa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya amat kecewa kerana ini adalah kekalahan pertama saya kepada dia (Shiha).

“Saya fikir boleh menang perlawanan ini, apatah lagi memegang mata akhir pada set keempat tetapi malang sekali saya gagal mengawal rasa gemuruh.

“Memasuki set penentian, saya ketinggalan sebelum kembali mengejar 7-7 tetapi kemudiannya….inilah kesudahan yang cukup mengecewakan,” ujarnya.

Kegagalan itu menyaksikan impiannya untuk muncul sebagai pemain pertama Malaysia mara ke pentas final dalam tempoh 18 tahun tidak kesampaian.

Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David kekal pemain terakhir Malaysia muncul juara remaja dunia pada 2001. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini