Mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum - Utusan Malaysia

Mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Titah ucapan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor mewakili KDYMM Yang di-Pertuan Agong di Majlis Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam (UA) Ke-38 Tahun 2019 yang berlangsung di Padang Kawad Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 3 Ogos 2019.

Allah Peliharakan Sultan.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Memuatkan artikel berkaitan…

Bismillahir rahman nirrahim

Segala puji bagi Allah tuhan seluruh alam. Selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad sollahu’alaihi wasallam semulia-mulia Rasul.

Alhamdulillah syukur saya kehadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat saya hadir mewakili ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, sempena Majlis Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam yang Ke-38 tahun 2019.

Saudara dan saudari sekalian,

Saya dimaklumkan bahawa istiadat perbarisan berkekuatan seramai 1,560 orang pegawai kadet yang terdiri daripada pegawai kadet Palapes bagi tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara lulusan dari universiti awam. Perbarisan gabungan tiga perkhidmatan yang diadakan ini, telah mempamerkan satu maksud keseragaman latihan dan kerjasama yang erat dalam Angkatan Tentera Malaysia. Ini adalah satu imej yang baik kepada Tentera Malaysia sebagai tonggak pertahanan angkatan negara.

Setinggi-tinggi tahniah kepada para pegawai kadet sekalian yang telah berjaya menamatkan latihan dan bersedia untuk ditauliahkan sebagai pegawai tentera di ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam ATM amnya dan pasukan simpanan khasnya. Sesungguhnya, kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa usaha dan sikap dedikasi yang tinggi. Ketahuilah bahawa kejayaan ini juga adalah hasil doa dan sokongan daripada ibu bapa serta keluarga yang ada bersama-sama dengan kita pada pagi ini.

Saudara dan saudari sekalian,

Rukun Negara yang kedua jelas menyatakan tentang kesetiaan kepada raja dan negara. Kesetiaan berperanan penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat yang berbilang kaum. Manakala ketaatan memastikan kesinambungan budaya dan adat resam serta agama berterusan dari zaman ke zaman. Ketaatan jugalah yang akan menjadikan kita teguh bersama. Namun nilai ini seolah olah menjadi agak luntur kini.

Seragai kelompok yang terlatih dan sebagai seorang pegawai tentera, saya ingin mengingatkan tentang cabaran serta ancaman yang kita hadapi kini. ‘Sense of awareness’ berkaitan hal-hal keselamatan sama ada secara langsung atau tidak langsung perlu ada dalam diri kita. Latihan dan pendedahan yang telah diberi di harapkan dapat menjadikan anda yang berbaris di hadapan saya ini sebagai modal insan kedaulatan raja dan negara terus dipelihara sampai bila-bila.

Saudara dan saudari sekalian,

Kepada semua perajurit saya ingin berpesan profesyen ketenteraan ini adalah satu profesyen yang menekankan erti kata pengorbanan yang sebenar. Anda harus jadikan hari ini sebagai titik permulaan untuk menjadi insan yang jauh lebih baik dengan berbekalkan pengalaman dan latihan yang anda jalani. Seterusnya membentuk anda semua sebagai seorang bakal pemimpin yang sentiasa peka dengan pembangunan negara.

Saya menyeru setiap yang hadir pada hari ini agar dapat menjiwai nilai-nilai yang telah diterapkan dalam diri masing-masing agar menjadi individu yang dihormati dan disegani. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menanam tanggungjawab ini serta kepimpinan sebagaimana pemimpin Islam terdahulu untuk menjadi ‘role model’ bukan sahaja kepada anggota bawahan malahan kepada masyarakat.

Saudara dan saudari sekalian,

Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada anda semua yang akan di tauliahkan menjadi Angkatan Tentera Malaysia. kepada ibu bapa tahniah dan terima kasih juga yang mendoakan dan menyokong perjuangan anak-anak ini. Akhir kata, saya berasa sukacita dan berdoa semoga para pegawai kadet sekalian akan terus maju dalam kerjaya sebagai pegawai tentera juga di dalam perkhidmatan dan bidang masing-masing. Peliharalah disiplin dan sikap taat setia anggota pimpinan agar sentiasa bersedia untuk berkorban demi agama, bangsa dan negara.

Dengan lafaz bismillahir rahmanir rahim saya mewakili kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini mentauliahkan para pegawai kadet sekalian sebagai pegawai di dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

-UTUSAN ONLINE-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini