KUALA LUMPUR – Penyanyi popular era 90-an, Wann mendedahkan Astro melamar dirinya untuk menjadi sebahagian daripada peserta program nyanyian Gegar Vaganza (GV) musim keenam pada musim ini.
Wann atau nama sebenarnya, Wan Rashidah Meor Abdul Rashid, 49, berkata, dia pernah menerima tawaran yang sama untuk tiga musim yang lalu, namun terpaksa menolak tawaran tersebut kerana belum bersedia.
Menurutnya, dia secara peribadi berminat untuk menjadi peserta program berkenaan tetapi perlu memikirkan pelbagai faktor sebelum bersetuju dengan tawaran tersebut.
“Saya berbesar hati, pihak Astro sanggup datang sehingga ke Singapura semata-mata untuk menjemput saya menjadi sebahagian daripada program pertandingan nyanyian GV.
“Saya berminat, tetapi gusar mengenai cabaran sepanjang pertandingan tersebut terutama melibatkan genre lagu,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai khabar angin penglibatan dirinya dalam program GV pada musim ini, pelantun Bossanova itu terus berteka-teki.
“Saya tidak mahu memberikan sebarang pengesahan. Doakan saya,” katanya.
Dalam pada itu, bersempena penglibatan 25 tahun dirinya dalam industri, Wann bakal terlibat dalam persembahan pentas Live Bersama Wann dan Peminat di The Pearl Hotel Kuala Lumpur pada 7 September ini.
Persembahan itu bakal menyaksikan Wann melakukan persembahan dan beramah mesra dengan peminat selama dua jam di samping melantunkan deretan lagu popular miliknya. – K! ONLINE











