Harimau Kumbang sasar suku akhir - Utusan Malaysia

Harimau Kumbang sasar suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menyasarkan untuk melayakkan diri sehingga ke pusingan suku akhir dalam saingan Piala Malaysia edisi ke-93, tahun ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dr. Amar Pritpal Abdullah berkata, semangat pasukan Pulau Pinang kini amat baik selepas berjaya menamatkan Liga Perdana tahun ini pada tangga ketiga.

“Selaras dengan pencapaian yang dikecapi Pulau Pinang dalam Liga Perdana 2019, saya berharap para pemain-pemain akan terus menunjukkan prestasi yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia supaya kita dapat mencapai sasaran layak sehingga suku akhir,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Skuad Harimau Kumbang diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara Liga Super 2019, Pahang, juara Liga Perdana 2019, Sabah serta Perak yang mana dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke pusingan suku akhir.

Dr Amar berkata, sasaran suku akhir itu amat realistik dengan prestasi semasa pasukan negeri kerana Pulau Pinang hanya pasukan yang bermain di Liga Perdana.

Pulau Pinang memulakan aksi pelawanan Piala Malaysia bertemu skuad Tok Gajah di Kuantan malam ini sebelum menerima kunjungan Sabah di Stadium Bandaraya pada Rabu depan.

Dr. Amar berkata, keempat-empat pemain import Pulau Pinang iaitu Kang Seung Jo, Julian Bottaro dan dua pemain pinjaman iaitu Sergio Aguero dari Selangor United dan Anselmo Casagrande dari Melaka akan kekal beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

“Kami memang ada perancangan untuk mengikat kedua-dua pemain pinjaman itu (Aguero dan Casagrande) tetapi kami perlu mengkaji dulu aksi mereka dalam setiap pelawanan yang mereka main ketika pelawanan Piala Malaysia ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, skuad Harimau Kumbang memerlukan peruntukan yang lebih bagi menghadapi Piala Malaysia dan musim baharu sama ada Liga Perdana atau Liga Super.

“Setakat ini, kami hanya menerima sumbangan RM5 juta setahun dari kerajaan negeri, namun itu masih tidak mencukupi kerana kos setiap pelawanan amat tinggi dan kami berharap peruntukan tambahan akan diluluskan memandangkan skuad Pulau Pinang telah berjaya layak ke Piala Malaysia,” katanya.

Harimau Kumbang berjaya menamatkan aksi Liga Perdana 2019 di tangga ketiga selepas 20 pelawanan dengan lapan kemenangan, enam seri dan enam kalah, namun masalah teknikal menyebabkan pasukan bimbingan Manzoor Azwira Abdul Wahid dikenakan hukuman pemotongan enam mata oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini