JOHOR BAHRU 3 Ogos – Asia Metropolitan Universiti (AMU) menjemput orang ramai ke Karnival Mega Hari Terbuka AMU 2019 di Jalan Lembah, Bandar Seri Alam di sini bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang ini.
Pelbagai aktiviti dan pengisian diadakan sempena karnival berkenaan antaranya pameran, jualan buku, galeri perpustakaan, pelbagai permainan menyeronokkan dan derma buku daripada orang ramai.
Selain itu diadakan pemeriksaan kesihatan melibatkan ujian penglihatan mata dan pemeriksaan sendiri untuk mengesan sebarang masalah pada bahagian payu dara termasuk ujian kanser payu dara.
Begitu juga pengunjung dapat mengetahui peluang dan tawaran lanjutan pendidikan yang ada di AMU melibatkan pelbagai bidang mengikut kelayakan serta minat masing-masing.
Ini secara tidak langsung memberi peluang kemasukan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang masih belum menerima tawaran ke mana-mana universiti awam atau swasta.
Pemohon hanya perlu membawa salinan kad pengenalan dan salinan kad pengenalan ibu bapa serta salinan keputusan SPM dan STPM jika ada.
Sekiranya layak, anda akan terus ditawar masuk ke program yang berkenaan berdasarkan kelayakan dan kekosongan.
Tawaran Biasiswa 100 peratus dan pinjaman penuh Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dan diskaun potongan yuran pendaftaran menanti mereka yang layak.
Sebarang pertanyaan, boleh berhubung terus menerusi talian 0197459244 Hisyam. – UTUSAN ONLINE











