TAIPING 3 Ogos – Tindakan pemimpin akar umbi termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang membantah rancangan pelaksanaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020 menunjukkan belang sebenar parti itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sikap melampau ahli DAP itu juga memperlihatkan mereka sememangnya mempunyai sifat anti-Islam dan anti-Melayu sehingga tidak boleh membezakan antara tulisan khat dengan agama Islam.
“Tulisan Jawi (tulisan khat) ini tidak ada kena mengena dengan agama. Kalau dikatakan hendak menerangkan keagamaan pada orang lain, tidak timbul isu itu sebab Jawi ini tulisan.
“Lagipun pelajaran agama, kita telah ada di sekolah dan kita tidak paksa pun anak-anak bukan Islam masuk pelajaran agama Islam. Saya rasa kali ini mereka menunjukkan sikap yang semakin tidak menghormati Melayu dan Islam, sebab itu terkeluar perkara seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut yang diadakan di Hotel Taiping Perdana di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa pengenalan tulisan khat bertujuan menerapkan nilai-nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara.
Sehubungan itu, pihak kementerian akan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami serta tidak membebankan murid dan guru sementara tiada pentaksiran akan dijalankan bagi aspek seni bahasa dalam pengenalan tulisan khat tersebut.
Isu pengenalan tulisan khat dan Jawi ini turut mendapat bantahan dua pertubuhan Cina iaitu Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang menolak langkah tersebut.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, di negara Arab seperti Mesir yang turut diduduki oleh orang Kristian dan Yahudi, mereka juga menggunakan bahasa Arab yang mengguna pakai tulisan Jawi.
“Ini disebabkan ia bukan berkaitan dengan agama. Umpamanya jubah, orang Kristian juga pakai jubah di negara Arab kerana pakaian dan tulisan itu tidak melambangkan agama sebaliknya berkait dengan budaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











