KUALA LUMPUR 3 Ogos – Kejadian lif terhempas dari tingkat lima Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini semalam disifatkan luar biasa berdasarkan rekod penyelenggaraan yang lengkap.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dalam lawatannya hari ini menyifatkan insiden berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan siasatan mengenainya perlu dilakukan secara teliti.
Beliau berkata, walaupun hanya ditukar pintu yang kerap rosak, usia lif yang berfungsi sejak 2007 itu tidak terlalu lama jika dibandingkan dengan lif di kediaman lain yang masih beroperasi sehingga 30 tahun.
“Secara teori, kejadian ini tidak sepatutnya berlaku disebabkan lif ada sistem keselamatan terutama sistem brek mekanikal yang akan berfungsi apabila lif jatuh dalam keadaan laju.
“Namun entah kenapa sistem itu tidak berfungsi ketika kejadian. Setahu saya sistem mekanikal ini berfungsi tanpa sokongan bekalan elektrik. Jadi saya nak tahu sebab kejadian,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa kejadian di PPR Kerinchi, di sini hari ini.
Menurut Khalid, siasatan awal mendapati lif berkenaan masih mempunyai Sijil Permit Mesin Angkat (PMA) yang sah sehingga 16 Januari tahun depan beserta rekod-rekod penyelenggaraan yang lengkap.
Sehubungan itu katanya, siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) bersama kumpulan profesional termasuk pembuat lif dari Korea Selatan.
Katanya, siasatan dijangka mengambil masa beberapa hari bagi mendapatkan maklumat penuh analisa sistem dan punca kejadian.
“Kita tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak. Saya minta supaya semua pihak tidak membuat sebarang andaian dan tunggu sehingga siasatan selesai.
“Keperluan untuk menukar lif baharu pula akan dinilai selepas siasatan mengenal pasti punca kejadian tersebut selesai dijalankan,” katanya.
Dalam lawatan itu, beliau turut menyerahkan sumbangan wang tunai kepada mangsa kemalangan selain berpeluang melawat mangsa yang lain di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam, empat mangsa termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun patah kaki, empat lagi mangsa cedera di pergelangan kaki manakala seorang tidak mengalami kecederaan. – UTUSAN ONLINE











