KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) kecewa hanya 5,860 penonton hadir menyaksikan aksi pembukaan Piala Malaysia menentang UiTM FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Juara Liga Super itu dalam Facebook rasminya, JOHOR Southern Tigers (JST) bimbang kehadiran penonton yang merosot akan menyebabkan penaja menjauhi pasukan.
“Kejayaan demi kejayaan yang dicapai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim tidak pernah surut, malah saban tahun senantiasa kemenangan liga diberikan sebagai bukti.
“Namun, kehadiran penyokong ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pula tidak seiring dengan pencapaian kelab.
“Penyokong memilih perlawanan untuk hadir dan ia dapat disaksikan sendiri malam tadi apabila hanya 5,860 menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Malaysia yang berkesudahan JDT menang 3-1 ke atas UiTM FC.
“Banyak yang sudah dilaksanakan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku pemilik kelab untuk memajukan Harimau Selatan.
“Dari segi fasiliti terkini mahupun stadium baharu yang hampir siap pembinaannya, kehadiran penyokong dilihat tidak seiring pembangunan dan kejayaan JDT,” tulis JDT dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut JDT lagi, meskipun ramai yang menyokong di luar, kesan ketidakhadiran penonton di stadium adalah jauh lebih besar.
“Jelas kejatuhan dari dalaman adalah sesuatu yang paling ditakuti berlaku.
“Sekiranya perkara ini berterusan, tidak mustahil impak negatif bakal melanda kelab apabila tiada lagi barisan penaja yang mahu memberi tajaan kepada kelab,” kata kenyataan itu lagi. – UTUSAN ONLINE











