KUALA TERENGGANU – Jurulatih sementara Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menyifatkan kemenangan 3-1 ke atas PKNS FC dalam aksi pertama Piala Malaysia malam tadi adalah permulaan yang sempurna buat skuad Penyu.
Nafuzi berkata, walaupun sering dihantui masalah kecederaan pemain utama yang tidak berkesudahan, beliau amat berpuas hati kerana barisan kedua dan pemain ‘feeder club’ yang diberi peluang beraksi menunjukkan permainan cemerlang.
“Kemenangan malam ini (tadi) di laman sendiri adalah permulaan yang baik untuk kempen Piala Malaysia dan secara keseluruhan saya amat berbangga dengan prestasi semua pemain,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Dalam perlawanan kumpulan A itu, skuad Penyu menewaskan PKNS FC menerusu dua gol Sanjar Shaakhmedov pada minit kelima dan ke-90, selain Nasrullah Hanif Johan pada minit ke-37.
Gol tunggal Red Ants pula dijaringkan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew pada minit ke-30.
Mengulas lanjut, Nafuzi berkata, fokus utama Terengganu pada masa ini ialah mengumpul sebanyak mata yang boleh menerusi perlawanan awal bagi memastikan mereka layak ke suku akhir.
“Berbeza dengan liga, kita cuma ada enam perlawanan dalam Piala Malaysia jadi kita perlu mengumpul mata maksimum di awal saingan.
“Kita jangka perlawanan seterusnya dengan Kedah pasti lebih sengit kerana tahap moral mereka yang tinggi selaku juara Piala FA,” katanya lagi, yang mengakui tidak menerima tekanan walaupun turun sebagai naib juara Piala Malaysia musim lalu.
Sementara itu, pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal kecewa gagal memulakan kempen Piala Malaysia musim dengan langkah kanan.
“Kita datang ke Terengganu dengan penuh keyakinan, cuma mungkin kita tidak memulakan permainan dengan apa yang kita rancang menyebabkan kita beri banyak ruang kepada pemain lawan.
“Selain itu kita juga terlalu cepat dibolosi (minit kelima) dan berjaya bangkit tetapi sama juga dengan kesilapan pertama pemain kita gagal menutup ruang dengan cepat menyebabkan Terengganu memperoleh gol kedua,” katanya.
Rajagobal berkata, PKNS FC perlu segera bangkit dalam perlawanan seterusnya, dan walaupun pasukan TFC serta Kedah dianggap pilihan bagi kumpulan A, pasukannya juga mempunyai peluang yang sama jika pemain mempunyai keinginan yang tinggi. – BERNAMA











