Minuman keras RM478,370 dirampas - Utusan Malaysia

Minuman keras RM478,370 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


KUALA LUMPUR 3 Ogos- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion Ke-10 merampas minuman keras seludup bernilai RM478,370 di Sri Aman, Sarawak kelmarin.


Portal Utusan Borneo melaporkan, Pegawai Pemerintah Batalion Ke-10, Superintenden Sanudin Md. Isa berkata, operasi dilakukan berasingan di tiga lokasi di Sri Aman bermula pukul 8 hingga 11 pagi melibatkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuching.


Katanya, serbuan dilakukan di sebuah kontena, sebuah rumah dan rumah kedai dipercayai dijadikan sebagai stor penyimpanan barang-barang seludup tanpa cukai.


Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam serbuan pertama di sebuah kontena di Jalan Foochow, sebanyak 655 kotak minuman keras bernilai RM104,400 termasuk cukai ditemukan.


“Di lokasi kedua, sebanyak 1,322 kotak minuman keras bernilai RM204,666 termasuk cukai juga dirampas dari sebuah rumah yang terletak di Taman Siang,” katanya dalam sidang akhbar di Sri Aman semalam.


Sanudin berkata, serbuan ketiga dilakukan di sebuah kedai runcit di Taman Sri Jaya yang melibatkan penyitaan 1,075 kotak minuman keras dengan nilai pasaran RM169,303.

Jelasnya, dalam tiga serbuan tersebut, seorang lelaki berusia 40 tahun telah ditahan.


“Kesemua rampasan tersebut disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×