KUALA LUMPUR 3 Ogos- Berpantang maut sebelum ajal.
Itu yang dilalui oleh seorang penunggang motosikal apabila berjaya menyelamatkan diri selepas kenderaan yang ditunggangnya tiba-tiba terbakar dalam kejadian di lampu isyarat Kampung Kemunting, Bintulu, Sarawak kira-kira pukul 8.23 malam kelmarin.
Portal Utusan Borneo melaporkan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu Mohamad Meramit berkata, pasukan Alpha BBP Bintulu diketuai Komander Operasinya Winston Tan bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.
“Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar motosikal terbabit 100 peratus.
”Kita menggunakan aliran nozel sumber air diperolehi dari pam jentera dan api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 15 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad berkata, bagaimanapun, lelaki tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.-UTUSAN ONLINE











