JDT tak cukup bagus - Utusan Malaysia

JDT tak cukup bagus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Benjamin Mora ‘tidak berpuas hati sepenuhnya’ dengan prestasi Johor Darul Ta’zim (JDT) meskipun menang 3-1 ke atas UiTM FC dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia.

Ketua Jurulatih Harimau Selatan itu percaya, pasukannya mampu memberikan permainan lebih baik berbanding yang dipertontonkan di Larkin malam tadi.

Dalam perlawanan Kumpulan B itu, JDT memperoleh jaringan menerusi penyerang Brazil, Diogo Santo pada minit ke-15 dan 85 serta Safawi Rashid pada minit ke-65.

Memuatkan artikel berkaitan…

Gol saguhati UiTM FC pula disumbangkan pemain import dari Montenegro, Zarko Korac dalam masa kecederaan.

“Kami tidak berpuas hati 100 peratus sebab saya tahu JDT boleh melakukan lebih  baik lagi.

“Kami sepatutnya menguasai dan mengawal sebahagian besar permainan tapi saya rasa disebabkan kami berehat beberapa hari (sebelum perlawanan) jadi ada pemain mungkin tidak berada dalam prestasi terbaik,” katanya dalam sidang akhbar.

Mora berkata, beliau percaya dalam perlawanan akan datang, banyak lagi yang boleh dilakukan oleh juara Liga Super itu.

“Selepas ini, kami akan berdepan PJ City FC. Pasukan ini berjaya mengalahkan kami dalam perlawanan sebelum ini tetapi kami tidak mahu membalas dendam kerana saya tidak percaya balas kepada dendam bola sepak.

“Saya hanya percaya pada permainan baharu, permainan yang berbeza,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Jurulatih UITM FC, Ismail Zakaria menyifatkan persembahan yang ditunjukkan anak-anak buahnya cukup membanggakan walaupun ramai daripada mereka baru ‘setahun jagung’ beraksi dalam Liga Perdana.

“Mereka beri yang terbaik malam ini. Cuma kadang-kadang hanya peluang…kita ada peluang, satu dua daripada Park Yong Jun tetapi tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk gol.

“Saya akui ini tidak cukup. Mereka perlu lagi berlatih lebih lama dan perlu berada dalam Liga Premier sekurang-kurangnya setahun dua tahun untuk mematangkan mereka kerana kebanyakan mereka baru pertama kali bermain Liga Perdana,” katanya.

Ismail berkata, dalam perlawanan seterusnya menentang PKNP dan PJ City, beliau akan berusaha memastikan anak buahnya bangkit mengutip mata kemenangan.

“Insya-Allah. Saya meletakkan sasaran dua pasukan itu. Bukan kata PKNP tidak bagus ataupun PJ City tidak bagus tapi sekurangnya saya boleh lawan untuk mengutip mata…dan mungkin saya buat sikit penyesuaian untuk membolehkan kita mengutip tiga mata penuh,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini