Masuk semula restoran terbakar, warga emas rentung - Utusan Malaysia

Masuk semula restoran terbakar, warga emas rentung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG 3 Ogos – Dia sebenarnya sudah keluar daripada restorannya sebaik kebakaran berlaku tetapi disebabkan mahu mengambil barang, seorang warga emas, Lim Kim Book, 68, masuk semula ke premis berkenaan, yang akhirnya meragut nyawanya.

Kim Book gagal menyelamatkan diri selepas ditimpa runtuhan restoran dan mayatnya ditemukan rentung selepas operasi pemadaman selesai dilakukan.

Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd. Noor Nur berkata, dalam kejadian di Taman Chi Liung, Pandamaran itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.30 pagi dan tiba di lokasi kejadian dalam masa sembilan minit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika sampai api sedang marak dan bomba dimaklumkan bahawa mangsa masuk semula ke dalam restoran untuk mengambil barang sebelum berlaku runtuhan yang menimpa mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hafisham, seramai 24 anggota bomba dari tiga balai bomba berhampiran berjaya mengawal kebakaran pada 8.10 pagi.

 

“Anggaran kemusnahan restoran berkenaan buat masa ini adalah kira-kira 80 peratus.

“Selain itu, Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor kini sedang menyiasat punca kebakaran,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini