Malaysian Tigers mengaum lagi di Sepanyol - Utusan Malaysia

Malaysian Tigers mengaum lagi di Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Malaysian Tigers terus mempamer aksi meyakinkan dalam siri Jelajah Eropah apabila mencatat kemenangan kedua pada Kejohanan Hoki Jemputan Empat Negara dengan menewaskan Ireland 2-1, awal pagi tadi.

Sehari selepas mengejutkan pasukan No. 9 dunia, Sepanyol 4-3 dalam aksi pembukaan, jaringan Mohd. Fitri Saari dan Muhammad Razie Abd Rahim memastikan Malaysia mengekalkan rekod bersih.

Anak-anak buah Roelant Oltmans yang menghuni ranking ke-12 dunia, kini akan diuji pasukan No. 6 dunia, England dalam aksi terakhir esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam perlawanan di Terrassa, Sepanyol, Malaysia bermula langkah kanan selepas membuka jaringan menerusi gol padang Mohd. Fitri seawal minit kesembilan.

Ireland bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Shane O’Donoghue menyempurnakan pukulan sudut penalti beberapa saat kemudian.

Memasuki separuh masa kedua, Malaysia meneruskan permainan baik, dan pemain pertahanan berpengalaman, Muhammad Razie berjaya menggandakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-33.

Siri Jelajah Eropah adalah sebahagian program persiapan skuad hoki negara untuk menghadapi pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2020 yang akan bermula, November ini.

Dalam perlawanan ujian pertama pada 26 Julai lalu, Malaysia mengejutkan juara dunia yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012, Jerman 4-2 di Krefeld, Jerman.

Malaysian Tigers kemudian kalah tipis 0-1 kepada Sepanyol dalam perlawanan ujian kedua, Ahad lalu.

Selain aksi persahabatan dan Kejohanan Jemputan Empat Negara, Malaysia juga dijadual mengadakan perlawanan ujian dengan Belanda pada 6 dan 8 Ogos, diikuti Belgium pada 10 dan 12 Ogos ini.

Malaysia dijangka berdepan salah satu daripada empat negara – Jerman, Sepanyol, New Zealand dan Kanada pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 nanti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini