KUALA LUMPUR 3 Ogos-Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) menjangkakan kerja-kerja pembaikan dan penggantian paip pecah di KM 6.6 Lebuhraya Persekutuan siap pada pukul 8 malam ini.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. Abdul Raof berkata, proses pembaikan ini mengambil masa kerana melibatkan paip pecah bawah tanah dan proses pembaikan yang rumit serta perlu dijalankan dengan berhati-hati bagi mengelakkan risiko dan insiden tidak diingini yang akan melewatkan lagi kerja-kerja pembaikan.
” Pihak kami telah mengeluarkan ‘Cutter Head’ atau Kepala Gerudi pihak ketiga, yang menyebabkan kerosakan teruk dan paip bersaiz 800 milimeter pecah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambahnya, Air Selangor juga telah menggerakkan secara berterusan bantuan lori-lori tangki air ke dua kawasan terjejas di Wilayah Petaling (Seksyen 11 dan Seksyen 16) serta premis-premis yang terkesan di Jalan Pantai Baharu dan Lingkaran Syed Putra.
“Pihak kami juga mengambil segala usaha bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan semula bekalan ke kawasan yang terjejas.
“Untuk sebarang pertanyaan dan bantuan boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau Appstore atau hubungi talian 15300,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











