KUALA LUMPUR 3 Ogos – Langkah berani Kementerian Pendidikan memperkenalkan dasar penulisan Jawi dan khat di semua sekolah menjadi kayu ukur kepada kekuatan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, semua pihak sewajarnya melihat pengenalan dasar berkenaan dari sudut positif sebagai pengenalan kepada instrumen seni penulisan dalam kalangan pelajar.
Katanya lagi, penulisan Jawi dan khat sebenarnya bukan sesuatu yang baru kerana bahasa Melayu tulisan Jawi merupakan bahasa rasmi negara suatu ketika dahulu.
“Justeru, menjadi satu kepelikan apabila ada pihak-pihak tertentu yang membantah pengenalannya sedangkan bahasa dan tulisan berkenaan mampu menjadi alat menyatukan kaum dalam negara berbilang bangsa.
“Dalam hal ini, rakyat bakal melihat ketegasan kerajaan PH menunaikan komitmen mereka menerusi keputusan Kementerian Pendidikan dengan pengenalan dasar tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membantah keputusan untuk melaksanakan penggunaan tulisan Jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah.
Dong Zong dan Jiao Zong menegaskan seni khat dan tulisan Jawi yang akan dimasukkan sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan adalah tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.
Ahmad Fakhruddin berkata, apa yang diharapkan perumpamaan hangat-hangat tahi ayam berlaku terutamanya apabila diasak oleh pihak tertentu.
Ujarnya, Pas menghargai pihak terbabit yang berusaha mengangkat martabat bahasa Melayu dan tulisan Jawi kerana inilah perkara yang sering dibangkitkan oleh Presiden saban tahun. – UTUSAN ONLINE











