LONDON – Media Britain hari ini melaporkan, Paulo Dybala akhirnya menerima tawaran Manchester United biarpun meragui perpindahan ke Old Trafford adalah langkah yang tepat.
Menurut Daily Mail, penyerang Argentina itu merubah fikiran pada saat akhir selepas diyakinkan oleh rakan sepasukannya di Juventus yang juga bekas bintang United, Cristiano Ronaldo.
Dybala, 25, pada mulanya menolak tawaran United kerana menganggap ia bukanlah keputusan terbaik untuk kariernya.
Pemain itu percaya, jika dia perlu meninggalkan Juventus dan beralih ke Liga Perdana Inggeris maka Liverpool atau Manchester City adalah pasukan yang harus dipilih.
Bekas pertahanan Liverpool yang pernah beraksi bersama Dybala di Palermo, Andrea Dossena berkata, bekas rakan sepasukannya itu menganggap Old Trafford bukan destinasi sesuai buatnya.
“Itu sahaja yang bermain dalam fikirannya ketika ini.
“Sudah tentu, kalau dia perlu memilih untuk meninggalkan Juventus, dia akan mencari kelab baharu yang terbaik dan akan memanfaatkan suasana dalam Liga Perdana.
“Ia pasti bukan keputusan mudah, meninggalkan Juventus juga adalah perkara yang sukar,” kata Dossena kepada portal sukan Itali, Tuttomercato Web.
Biarpun Dossena tidak mengharungi musim yang baik ketika menyertai Reds pada 2008, namun dia percaya bekas pasukannya itu menawarkan peluang lebih bagus buat Dybala untuk menyinar.
“Kita bercakap tentang gergasi bola sepak dunia dan United belum bersedia memenangi kejuaraan utama Eropah, jadi lebih baik dia kekal di Juventus kalau tidak dapat menyertai pasukan yang lebih bagus.
“Kalau yang menunjukkan minat adalah Liverpool atau Manchester City, saya percaya Paulo tidak akan ragu-ragu untuk pergi.
“Ketika ini, United masih dalam proses membentuk semula pasukan, dan atas sebab itu saya faham mengapa Paulo keberatan untuk menyertai mereka,” kata bekas bek kiri Itali itu lagi.
United menamatkan kempen Liga Perdana musim lalu di tangga keenam, sekali gus tidak akan beraksi dalam Liga Juara-Juara.
Liverpool merangkul kejuaraan Eropah buat kali keenam musim lalu, selain muncul naib juara liga manakala City mempertahankan kejuaraan Liga Perdana.
Walau apa pun keputusan Dybala, ia perlu dibuat sebelum Khamis ini apabila jendela perpindahan pemain ditutup.
Perkembangan itu turut mendebarkan penyerang United, Romelu Lukaku yang sudahpun mencapai persetujuan untuk menyertai Juventus tetapi kedudukannya bergantung kepada keputusan akhir Dybala. – AGENSI











