LONDON – Harry Maguire menjadi pertahanan termahal di dunia selepas bersetuju untuk menyertai Manchester United dari Leicester City dengan perjanjian bernilai 80 juta pound (RM405 juta).
Itu bermakna Maguire sudah pun mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang oleh Virgil van Dijk apabila menyertai Liverpool dari Southampton pada Januari 2018 dengan nilai 75 juta pound (RM379 juta).
Pertahanan tengah berusia 26 tahun itu menyertai United dengan kontak lima tahun dan menerima bayaran 200,000 pound (RM1 juta) seminggu dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh kontraknya setahun.
Dia akan menyertai latihan bersama pasukan baharu pada Isnin ini dan masih belum dapat disahkan sama ada dia beraksi menentang Blackburn Rovers di Carrinton atau tidak.
Dalam pada itu, Leicester mengaut keuntungan berlipat kali ganda hasil penjualan Maguire apabila pemain itu hanya dibeli dengan nilai 17 juta pound (RM86 juta) dari Hull City, dua tahun lalu.
Kemasukan Maguire menyaksikan United sudah mengeluarkan belanja 150 juta pound (RM759 juta) bagi membawa masuk pemain baharu.
United fokus untuk mendapatkan pemain muda England memandangkan sebelum ini mereka membeli Dan James dan Aaron Wan-Bissaka. – AGENSI











