SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga emas kerugian wang sebanyak RM30,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam di Kepala Batas di sini semalam.
Mangsa yang merupakan pesara kerajaan berumur 62 tahun itu mula terjerat dalam sindiket berkenaan selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai sebuah bank.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa dimaklumkan bahawa dia mempunyai tunggakan pinjaman dengan bank tersebut.
“Selain itu, mangsa turut dimaklumkan dia terlibat dalam kegiatan jenayah kerana memiliki dadah sebanyak 16 kilogram selain terlibat sindiket pengubahan wang haram.
“Akibat terlalu takut dan terkejut selepas menerima panggilan tersebut, mangsa telah bersetuju untuk membuat pemindahan want ke dalam akaun bank seperti yang diberikan oleh suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, siasatan mendapati mangsa telah melakukan sekali transaksi pindahan wang ke dalam satu akaun dalam masa sehari melibatkan wang berjumlah RM30,000.
“Mangsa kemudiannya diminta untuk merahsiakan hal tersebut daripada keluarga.
“Dia bagaimanapun menyedari telah ditipu selepas diberitahu oleh keluarga bahawa ia adalah panggilan daripada scammer sebelum membuat laporan polis,” katanya lagi.
Sementara itu, Noorzainy turut menasihati orang ramai agar tidak mudah panik ketika menerima pnggilan daripada individu tidak dikenali, sebaliknya menghubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk pengesahan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE











