KUALA LUMPUR – Tidak rela dikecewakan lagi oleh Felda United, pengendali Selangor, B. Sathianathan merangka strategi khas untuk menghadapi The Fighters dalam aksi pembukaan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.
Dalam pusingan ketiga Piala FA pada 16 April lalu, Felda yang dibimbing bekas pembantu Sathianathan, Mohd. Nidzam Jamil mengejutkan Red Giants 2-1 di Shah Alam.
Anak-anak buah Nidzam turut memaksa Selangor bekerja keras dalam pertemuan terakhir Liga Super di Jengka, Julai lalu sebelum kalah 1-2, malah mengikat Red Giants 1-1 pada aksi pertama di Shah Alam pada 3 Februari.
“Musim ini kita seri dan tewas kepada Felda United di laman sendiri, namun berjaya menang di Jengka. Skuad bimbingan Nidzam membuktikan mereka pasukan yang harus digeruni apabila membelasah Kedah 5-1 dalam aksi terakhir liga.
“Kita tidak boleh pandang mudah kemampuan mereka dan saya mahu kemenangan di laman sendiri pada permulaan saingan Piala Malaysia. Ia tidak mudah tetapi tidak mustahil untuk kita menang.
“Paling positif semua pemain kita berada dalam keadaan cergas dan ini memberi saya pilihan untuk menurunkan barisan terbaik malam esok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Nidzam tetap menghormati Selangor yang dilatih Sathianathan dan menganggap bekas jurulatih kebangsaan itu sebagai idolanya kerana pernah bersama-sama mengenali The Fighters sebelum ini.
“Sathianathan individu cukup dikenali dalam bola sepak negara dan dia pernah bersama kami. Saya juga banyak belajar dengan dia.
“Piala Malaysia cukup sinonim dengan Selangor yang telah memenangi trofi itu sebanyak 33 kali. Kami menghormati lawan dan saya harap pemain dapat beri aksi terbaik,” ujarnya.
Dalam pada itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh akan menurunkan barisan serangan terkuat yang diketuai dua permata hitamnya, Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi bagi memburu kemenangan ke atas Pulau Pinang di Stadium Darul Makmur.
“Gandingan Nwakaeme dan Kaimbi cukup serasi ketika ini dan saya percaya mereka akan memberi tekanan kepada pertahanan lawan dan membantu pasukan mencatat kemenangan pertama sekali gus menjadi permulaan terbaik untuk kita,” katanya. – UTUSAN











