DHAKA, Bangladesh – Sepasang kembar Siam Bangladesh yang bercantum pada kepala beransur sembuh semalam selepas sepasukan doktor bedah Hungary berusaha 30 jam untuk memisahkan tengkorak dan otak mereka dalam satu pembedahan di Dhaka.
Kembar Siam perempuan bernama Rabeya dan Rukaya yang berumur 3 tahun bulan lalu mengalami kecacatan embrio, masalah yang menimpa satu dalam setiap lima hingga enam juta kelahiran.
Mereka stabil selepas prosedur pemisahan terakhir, kata pakar bedah neurologi Yayasan Orang Tidak Berkemampuan(ADPF), Andras Csokay. ADPF merupakan sebuah badan amal perubatan yang melakukan pembedahan itu.
“Bagaimanapun, kami perlu amat berhati-hati semasa tempoh pascapembedahan,” kata Csokay yang mengetuai 35 anggota pasukan bedah Hungary.
Selepas memisahkan tengkorak dan otak mereka di Hospital Gabungan Tentera di Dhaka, pasukan Csokay mula menutup bahagian luka dengan tisu lembut yang dihasilkan menerusi proses pembiakan tisu di Hungary.
Sebelum pembedahan tersebut berlangsung, beberapa pakar bedah berkata, peluang untuk kembar Siam itu selamat adalah 50/50.
Menurut ADPF, hanya segelintir pembedahan memisahkan kembar Siam yang bercantum pada kepala berakhir dengan kejayaan.
ADPF ditubuhkan pada 2002 oleh Csokay dan pakar bedah plastik, Gergely Pataki bagi memberi pembedahan percuma kepada orang miskin di Hungary dan negara luar.
Ibu bapa kembar Siam itu yang berasal dari Pabna, 120 kilometer ke barat Dhaka, menghubungi ADPF untuk meminta pertolongan pada tahun 2017. – AFP











