KUALA LUMPUR – Masa depan pelumba negara untuk kekal beraksi dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2020 dilihat masih ada sinar apabila pasukan Tech3 mahu Hafizh Syahrin Abdullah kekal bersama mereka pada perlumbaan kelas Moto2.
Hafizh hilang tempat dalam pasukan Red Bull KTM Tech3 bagi kelas premier MotoGP selepas pasukan tersebut membuat keputusan menandatangani pelumba Afrika Selatan, Brad Binder yang juga merupakan pelumba KTM pada saingan Moto2 musim ini.
Bagaimanapun, prinsipal pasukan Tech3, Herve Poncharal yang menjadi individu penting membawa Hafizh ke kancah perlumbaan berprestij dunia itu pada tahun 2018 dilihat tidak mahu melepaskan pelumba berusia 25 tahun itu.
Sebaliknya, Poncharal sedia memberikan tawaran kepada Hafizh untuk beraksi bersama pasukan Red Bull KTM Tech3 bagi saingan Moto2.
“Ketika ini, kita serah kepada Hafizh untuk membuat keputusan mengenai kariernya pada musim depan. Kami pasukan Red Bull KTM Tech3 membuka peluang kepadanya pada saingan Moto2 dengan menggunakan jentera KTM tahun depan.
“Kini, kami hanya tunggu keputusan Hafizh mengenai minatnya sama ada mengambil peluang ini atau ingin menyertai pasukan lain,” kata Poncharal kepada Kosmo! secara eksklusif semalam.
Poncharal turut mengakui bukan mereka sahaja berminat mahukan Hafizh kekal malah penaja utama iaitu KTM dan Red Bull berhasrat melihat pelumba Malaysia itu pada saingan Moto2 musim depan.
“Saya berharap pada penghujung Ogos nanti kami dapat tahu mengenai keputusan Hafizh. Kami pasukan Tech3, Red Bull dan KTM mahu dia kekal bersama kami.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi kami mahukan Hafizh kekal bersama dengan menyertai pasukan Red Bull KTM Tech3 bagi kelas Moto2,” tambahnya.
Ketika ini, pengeluar minyak terkemuka dunia, Petronas dikatakan menjadi pilihan kedua Hafizh sekiranya Tech3 tidak berminat menyambung kontraknya.
Baru-baru ini, Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali dikatakan telah melakukan pertemuan dengan Petronas untuk membincangkan mengenai masa depan Hafizh.
Bagaimanapun, tiada sebarang kata putus diperoleh menerusi perbincangan tersebut.
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga memberi bayangan bahawa pelumba sulung negara akan kekal bersaing dalam kancah MotoGP.











