KUALA LUMPUR – Hanya tinggal Aifa Azman menggalas cabaran Malaysia dalam Kejohanan Skuasy Remaja Dunia selepas juara remaja Terbuka Britain 2018 itu melangkah ke separuh akhir perseorangan perempuan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Pemain berusia 17 tahun itu hanya mengambil masa 23 minit untuk mengetepikan Elise Lazarus dari England 12-10, 11-8, 11-5, sekali gus bakal berdepan cabaran getir pilihan kedua, Jana Shiha dari Mesir.
Aifa, satu-satunya pemain bukan Mesir yang bersaing dalam separuh akhir esok memiliki rekod baik ke atas Jana apabila menang dua kali iaitu pada Terbuka Britain 2014 dan 2018.
“Saya tidak akan berhenti di sini. Saya akan menampilkan aksi terbaik pada separuh akhir esok,” kata Aifa yang turun sebagai pilihan ke-3/4.
Terdahulu, cabaran seorang lagi perseorangan perempuan negara, Chan Yiwen disekat oleh rakan senegara Jana yang juga pilihan ke-3/4, Faridah Mohamed. Yiwen, pilihan ke-5/8 tewas 11-3, 7-11, 5-11, 9-11.
“Pada set pertama, rancangan saya menjadi dengan mudah memperoleh mata. Bagaimanapun pada set kedua dan ketiga lawan saya bermain pantas dan agresif…Saya tertekan selepas itu,” kata Yiwen, 18.
Dalam perseorangan lelaki, Siow Yee Xian gagal meneruskan kemaraan apabila tunduk kepada pilihan utama dari Mesir, Mostafa Asal 3-11, 4-11, 1-11 hanya dalam masa 27 minit.
“Standard saya jauh ketinggalan berbanding lawan. Saya perlu berlatih lebih gigih untuk merapatkan jurang dengan dia,” kata Yee Xian. – BERNAMA











