Penyu tetap gah tanpa 6 tonggak - Utusan Malaysia

Penyu tetap gah tanpa 6 tonggak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Beraksi tanpa enam tonggak, termasuk ketua pasukan, Lee Tuck tidak menjejaskan rentak permainan Terengganu FC apabila berjaya menumpaskan PKNS FC 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hari ini.

Bintang import kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov meletakkan skuad Penyu di depan seawal minit keenam, namun PKNS FC berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 menerusi Jafri Firdaus.

Sokongan padu penyokong tuan rumah menaikkan semangat finalis Piala Malaysia 2018, Terengganu untuk kembali di depan, kali ini menerusi tandukan Nasrullah Haniff pada minit ke-38.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketinggalan buat kali kedua tidak mematahkan semangat skuad Red Ants untuk mencari gol penyamaan sekali lagi, malangnya percubaan Jafri pada minit ke-54 terkena palang.

Usaha PKNS untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Kuala Terengganu lebur selepas Sanjar meledak gol peribadi keduanya pada waktu kecederaan untuk memastikan Penyu memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan.

“Terima kasih dan tahniah kepada pemain saya kerana bermain dengan baik dan mengikuti semua arahan sejak awal.

“Kita tahu menentang PKNS memang sukar, terutama dengan kualiti penyerang mereka seperti Kpah Sherman dan Romel (Morales). Bukan senang hendak merantai pemain yang memiliki fizikal besar, sedangkan saiz pemain kita tidak berapa besar.

“Saya memuji persembahan mereka malam ini. Ini permulaan yang baik buat Terengganu dalam Piala Malaysia,” kata Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini