KUALA LUMPUR 3 Ogos – Jerebu yang kembali melanda negara sejak kelmarin susulan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia menyebabkan beberapa negeri mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi.
Keadaan akan lebih buruk jika kerajaan republik itu tidak melakukan tindakan segera yang boleh mengakibatkan keadaan jerebu di Malaysia menjadi lebih teruk.
Tetapi adakah hanya perlu mengharapkan tindakan daripada kerajaan negara itu sahaja, tanpa kita sendiri mengambil langkah berhati-hati dalam hal ini.
Berikut ialah panduan kesihatan berdasarkan laman web Kementerian Kesihatan.
Indeks Pencemaran Udara (IPU)
IPU diperolehi daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan seperti berikut :-
NILAI IPU STATUS
0 – 50 Baik
51 – 100 Sederhana
101 – 200 Tidak Sihat
201 – 300 Sangat Tidak Sihat
301 – 500 Berbahaya
Anda perlu mengikuti perkembangan semasa melalui media massa (akhbar, televisyen dan radio) untuk mengetahui tahap jerebu semasa di tempat anda supaya dapat mengambil langkah-Iangkah pencegahan.
Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan yang buruk kepada semua orang terutama golongan yang berisiko tinggi iaitu :-
1) Kanak-kanak
2) Orang tua
3) Mereka yang mengalami penyakit: asma, bronkitis, radang paru-paru, penyakit paru-paru yang kronik, jantung dan alahan
4)Perokok
5) Mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah.
Kesan-kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah:
1) Terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk.
2) Terasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas.
3) Mata terasa pedih dan berair.
4) Hidung berair dan kerap bersin.
5) Kulit badan terasa gatal-gatal.
6) Terasa sakit dada.
Dapatkan rawatan dan nasihat doktor di klinik berhampiran sekiranya anda mempunyai tanda-tanda dan gejala tersebut.-UTUSAN ONLINE











