Ampunkan FAM - Utusan Malaysia

Ampunkan FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebentar tadi menjelaskan kejayaan skuad bawah 15 tahun (B-15) kebangsaan pada kejuaraan B-15 AFF 2019 di Chonburi, Thailand bukanlah hasil segera program DNA Bola Sepak Malaysia yang dilancarkan FAM pada 9 Julai lalu.

Penjelasan berkenaan adalah untuk membuat pencerahan serta memohon maaf atas kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi FAM apabila difahamkan FAM ingin mengambil kredit atau ‘claim’ akan kejayaan skuad B-15 kendalian P. Maniam menewaskan Australia 3-0 pada perlawanan ketiga Kumpulan B semalam.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memberitahu apa yang dimaksudkan badan induk bola sepak negara adalah skuad B-15 ketika ini berada pada landasan yang betul dan seiring dengan apa yang cuba diterapkan dalam DNA Bola Sepak Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“FAM memohon maaf dan bukan niat untuk mengambil kredit atau ‘claim’ kejayaan skuad B-15 kendalian P. Maniam. Pada masa sama, kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi kami malam semalam juga telah dipadam.

“Untuk makluman, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) merupakan projek yang dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kerjasama baharu yang terjalin sejak Disember 2018.

“Kami gembira melihat kerjasama ini telah mula membuahkan hasil dan pencapaian pasukan-pasukan remaja negara seperti yang ditampilkan skuad B-15 ini jelas menunjukkan bahawa projek ini sedang berjalan dengan baik dan lancar.

“Justeru, saya berharap agar kita semua tidak terus berbalah mengenai hal mengambil kredit atau ‘claim’ ini,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan FAM sebentar tadi.

Pada masa sama, FAM turut memberikan penghargaan kepada barisan penggerak NFDP dan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang akan kejayaan yang dipamerkan skuad B-15 negara.

“Tanpa sokongan dan usaha NFDP dan AMD selama ini, pemain B-15 tidak akan sampai ke tahap terbaik ini sekali gus meneruskan kesinambungan corak permainan mereka seiring dengan DNA Bola Sepak Malaysia yang baru dilancarkan,” jelasnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini