SHAH ALAM 2 Ogos – Keadaan politik Selangor semakin panas apabila UMNO dan Pas juga sudah mula tampil bersuara di sebalik isu pertembungan di antara Menteri Besar, Amirudin Shari dan DAP sehingga menyaksikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya berlangsung dua hari ini.
Berdasarkan kenyataan daripada UMNO dan Pas itu, jelas kemelut terbaharu tersebut ada kaitannya dengan cubaan untuk menghalang dua usul memperkasakan institusi agama Islam yang sepatutnya dibawa dan dibentangkan oleh kepimpinan Amirudin pada sesi kali ini, tetapi ia gagal dilakukan kerana tempoh sidang DUN yang pendek.
Ketua Pembangkang, Rizam Ismail berkata, sejak kelmarin sudah menjadi rahsia terbuka bahawa langkah memendek sidang DUN, ada kaitan dengan usaha pihak tertentu untuk menghalang usul tersebut dan siapa mereka itu biarlah rakyat sendiri menilainya.
“Sebagai wakil rakyat, saya melihat ada pergolakan sesama mereka dalam Kerajaan Negeri Selangor sekarang ini. Ada yang tidak kena dalam politik Selangor tetapi bagi saya, jika usul itu bertujuan untuk memartabatkan agama Islam, ia harus disokong.
“Tetapi rakyat bayangkanlah sendiri, Pakatan Harapan (PH) Selangor ini ada seramai 51 wakil rakyat tetapi masih tidak mampu bersepakat dalam membawa usul penting ini,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Utusan Malaysia Online petang tadi melaporkan ribut politik sedang melanda Selangor membabitkan pertembungan di antara Amirudin dan DAP, dengan Menteri Besar itu dikatakan kecewa terhadap tindakan Yang Dipertua DUN, Ng Suee Lim.
Ekoran tindakan Suee Lim tersebut Amirudin dipercayai sudah mula mengambil langkah susulan dengan pertemuan tertutup bersama ADUN Islam di kediaman rasminya malam semalam adalah salah satu daripadanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dalam kenyataannya pula berkata, beliau percaya terdapat campur tangan daripada pihak tertentu dalam DUN Selangor yang tidak selesa terhadap usul berkaitan kepentingan orang Islam.
“Saya dapat tahu masa Mesyuarat ‘pre-council’ kerajaan, satu usul untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menjadi Warta Kerajaan patut dibentang pada
Sidang DUN baru-baru ini tiada dalam senarai agenda hinggalah hari terakhir Sidang DUN (31 Julai) lalu.
“Sekiranya benar usul tersebut ‘dihilangkan’ oleh permainan politik individu tertentu, Pas mengecam tindakan berkenaan kerana jelas ia cubaan menzahirkan kebencian terhadap Islam dan Ketua Agama Islam di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











