KUALA LUMPUR – Seramai lima lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian atas talian diberkas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Cheras di sini semalam.
Dalam serbuan bermula pada pukul tiga petang itu telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat snuker di Taman Kobena yang membawa kepada penahanan tiga individu yang sedang leka bermain judi.
“Ketiga-tiga individu terbabit terdiri daripada seorang penjaga premis berusia 69 tahun dan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 54 dan 43 tahun.
“Kita juga telah merampas pelbagai barangan yang digunakan untuk permainan judi atas talian seperti telefon bimbit pelbagai jenama(3), modem(2) dan wang tunai berjumlah RM79,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Tambahnya, penjaga premis berkenaan turut ditahan untuk tindakan saman kerana menjalankan perniagaan tanpa mempunyai lesen yang sah selain disyaki bertindak sebagai orang tengah dalam menjalankan perjudian atas talian.
Mengulas lanjut, pihaknya turut menjalankan serbuan di sebuah lagi pusat snuker di Taman Tenaga, Cheras yang dipercayai menjalankan aktiviti perjudian atas talian.
“Dua lelaki warga tempatan berusia 32 dan 29 tahun telah ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif syabu dan amphetamine.
“Kelima-lima suspek akan reman selama dua hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1982 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1982 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1982. – K! ONLINE











