KUALA LUMPUR 2 Ogos – Jawatankuasa Penilaian Program Pra-Kelayakan (Pre-Q) yang diwakili oleh Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menyenarai pendek sebanyak 331 atau 25.1 peratus daripada 1,321 buah syarikat kontraktor Malaysia yang berpotensi menjadi penender bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Daripada jumlah tersebut, Jawatankuasa Penilaian Pre-Q juga turut mengenalpasti 234 atau 70.7 peratus syarikat pembinaan yang dipilih adalah syarikat milik bumiputera.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, tender bagi kontraktor tempatan untuk pakej kerja-kerja sivil projek ECRL itu dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.
Katanya, pemulaan bagi pakej tender untuk 40 peratus kerja-kerja sivil tidak termasuk kerja-kerja terowong itu akan melibatkan jajaran dari Dungun ke Mentakab sepanjang 223 kilometer yang mana jajaran tersebut telah dimuktamadkan.
“Namun begitu, pelawaan tender kepada kontraktor-kontraktor tempatan akan diteruskan sepanjang fasa pembinaan projek ECRL,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya lagi, tender-tender pada masa hadapan akan melibatkan jajaran dari Kota Bharu ke Dungun serta jajaran selatan baharu antara Mentakab dan Port Klang apabila muktamad kelak.
“Projek ini juga berkait rapat kepada penglibatan efektif oleh kontraktor-kontraktor tempatan dalam kerja-kerja sivil termasuk kerja-kerja tanah, asas, struktur, penambahbaikan tanah dan jalan, apabila siap pada hujung 2026,” katanya.
Sementara itu, Darwis berkata, keputusan menyenarai pendek kontraktor dibuat selepas pihak jawatankuasa menilai latar belakang syarikat, pengurusan kewangan, kakitangan teknikal serta loji dan peralatan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam program Pre-Q tersebut.
“Kesemua syarikat yang telah berjaya disenarai pendek akan menerima maklum balas secara bertulis sebelum akhir Ogos 2019 ini daripada CCCC yang merupakan kontraktror kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek ECRL sepanjang 640 kilometer,” katanya.
Menurutnya, daripada 331 syarikat pembinaan yang lulus saringan dan tersenarai sebagai penender berpontensi, syarikat yang berkategori gred CIDB G7 mewakili jumlah terbesar iaitu 164 buah syarikat disusuli dengan gred CIDB G4 iaitu sebanyak 69 buah syarikat.
Selebihnya merupakan Gred CIDB G3 sebanyak 45 buah syarikat manakala G5 dan G6 masing-masing sebanyak 33 dan 20 buah syarikat.











