SIAPALAH kita tanpa ibu bapa. Kasih sayang yang diberikan adalah sepanjang hayat. Namun sejauh mana kasih kita kepada mereka?

Tatkala dikekang dengan kesibukan tugasan seharian dan tumpuan kepada keluarga sendiri, adakah kita berjaya mencuri masa untuk insan teristimewa itu?
Sempatkah kita menjenguk mereka di kampung halaman? Atau paling tidak berhubung menerusi panggilan telefon? Mungkin mereka tidak mengharapkan balasan wang ringgit tetapi yang pasti mereka tetap mahukan perhatian daripada insan dipanggil anak.
Bahagia seorang anak itu adalah reda daripada ibu bapa tercinta. Malah kejayaan yang dicapai juga sedikit banyak daripada berkat doa mereka di siang hari dan malam.
Perginya mereka daripada dunia yang fana ini bermakna kita telah kehilangan satu ‘senjata’ terbaik daripada mereka terutama si ibu, doa yang begitu mustajab.
Dalam kesempatan yang ada, hargailah mereka. Sanjungilah mereka umpama seorang raja. Tidak terbalas jasa yang dicurahkan semasa membesarkan kita.
Mereka juga adalah seorang guru yang banyak memberi tunjuk ajar, panduan serta pendorong ke pentas kejayaan. Jangan sampai satu ketika ‘perginya’ mereka, baru menyedari betapa kita telah kehilangan harta terbaik.
Jangan kita menjadi seperti kisah Si Tanggang. Minta dijauhkan hendaknya. Tunggu apa lagi, hubungilah insan istimewa itu sekarang!











