SERI KEMBANGAN 2 Ogos – Terra Security Monitoring Sdn. Bhd. menyasarkan sejuta pengguna dalam tempoh enam bulan bagi aplikasi keselamatan Mybodyguard yang menawarkan bantuan kecemasan segera hanya dengan menekan butang SOS pada aplikasi tersebut.
Presidennya, Datuk Baharruddin Hamzah berkata, syarikat tempatan itu yakin mampu mencapai sasaran itu berikutan kadar pakej yang dikenakan amat berpatutan iaitu RM80 sebulan.
Bercakap kepada Bernama Radio, Baharruddin berkata, menerusi aplikasi bantuan kecemasan itu, pengguna boleh berinteraksi secara langsung menerusi penstriman video dengan petugas di pusat kawalan kecemasan yang akan bertindak menyalurkan bantuan tanpa mengira masa dan lokasi.
Beliau berkata, aplikasi itu juga menyediakan platform interaksi secara langsung dengan beberapa pihak dalam satu-satu masa ketika bantuan sedang disalurkan.
Aplikasi Mybodyguard boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan App Store dalam masa terdekat. – BERNAMA











