KUALA LUMPUR 2 Ogos – Ekonomi Malaysia kekal berada pada aliran meningkat dengan indeks ekonomi utama negara terus bergerak ke landasan pemulihan.
MIDF Amanah Investment Bank berkata, angka terbaharu yang dicatatkan pada Mei 2019 sebahagian besarnya disebabkan penyusutan dalam nilai jualan sektor pembuatan seperti yang dijangka.
“Sektor berorientasikan eksport dan yang menumpukan pada pembuatan dijangka mengalami kemerosotan akibat perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta pertikaian antara Jepun dan Korea Selatan.
“Bagaimanapun, pada masa yang sama unjuran untuk separuh kedua 2019 adalah positif, disokong oleh kadar faedah lebih rendah dalam ekonomi maju dan sedang pesat membangun, harga komoditi yang beransur-ansur meningkat dan permintaan kukuh dalam negara,” katanya dalam nota penyelidikan disini hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, indeks pengeluaran perindustrian (IPI) berkembang lebih tinggi daripada jangkaan.
“IPI Malaysia berkembang kukuh sebanyak empat peratus tahun ke tahun pada Mei 2019, melebihi jangkaan pasaran sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun,” katanya.
MIDF berkata, pertumbuhan itu disebabkan terutamanya oleh peningkatan berterusan dalam output perlombongan dan pengembangan output pembuatan dan elektrik.
Tambahnya, pengeluaran perlombongan meningkat dengan ketara sebanyak tiga peratus tahun ke tahun, terpantas sejak Ogos 2017.
MIDF berkata, pasaran buruh negara kekal stabil apabila tenaga buruh berkembang 1.9 peratus pada Mei 2019 yang juga merupakan kenaikan paling rendah dalam tempoh 18 bulan.
Sementara itu firma penyelidikan itu berkata, pasaran pekerjaan yang stabil mencerminkan keadaan pekerjaan penuh, pembangunan ekonomi Malaysia yang sihat dan memberikan sokongan kukuh kepada permintaan domestik.
Sementara itu katanya, kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) yang telah dikurangkan sebanyak 25 mata asas dijangka memberi kesan terhadap aktiviti ekonomi di AS, terutamanya perbelanjaan isi rumah dan pelaburan perniagaan.
Di samping itu langkah Fed mungkin mengimbangi ketidakpastian disebabkan ketegangan perdagangan global.
HABIS











