KUALA LUMPUR 2 Ogos – Jawatankuasa Penilaian Program Pra Kelayakan (Pre-Q) yang diwakili oleh Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) telah menyenarai pendek 331 atau 25.1 peratus daripada 1,321 buah syarikat
kontraktor Malaysia yang berpotensi menjadi penender-penender bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, tender bagi kontraktor tempatan bagi pakej kerja-kerja sivil projek ECRL itu dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.
Beliau berkata, pemulaan bagi
pakej tender untuk 40 peratus kerja-kerja sivil tidak termasuk kerja-kerja terowong akan melibatkan jajaran dari Dungun ke Mentakab yang merangkumi panjang 223 kilometer di mana jajaran tersebut telah dimuktamadkan.
“Namun begitu, pelawaan tender kepada kontraktor-kontraktor tempatan akan diteruskan sepanjang fasa pembinaan projek ECRL,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











