KUALA LUMPUR 2 Ogos – Sebanyak sembilan individu berdepan detik cemas apabila lif dinaiki mereka mengalami kerosakan dan jatuh dari tingkat lima ke tingkat bawah dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, empat mangsa termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun patah kaki, empat lagi mangsa cedera di pergelangan kaki manakala seorang tidak mengalami kecederaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.36 petang sebelum jentera dari BBP Pantai dan BBP Seputeh dengan kekuatan 14 anggota tiba di lokasi beberapa minit kemudian.
Menurut Ramli, lif yang dinaiki sembilan individu itu meluru jatuh dari tingkat lima dan berhenti di separuh tingkat bawah selepas sistem brek berfungsi.
“Apabila tiba di lokasi, kita dapati kesemua mangsa yang berusia antara 10 hingga 69 tahun itu telah dibawa keluar oleh orang awam dan pasukan bomba kemudian mengasingkan mangsa mengikut tahap kecederaan dengan bantuan pasukan perubatan.
“Lapan mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE











