PUTRAJAYA 2 Ogos – Dianggarkan sebanyak 800,000 penjawat awam masih belum memiliki kediaman sendiri.
Anggaran itu berdasarkan jumlah kakitangan awam yang telah mendapatkan pembiayaan perumahan daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Datuk Kamal Mohd. Ali, seramai 800,000 daripada kira-kira 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara mempunyai akaun dengan LPPSA membabitkan pembiayaan berjumlah hampir RM70 bilion.
Beliau berkata, permohonan pembiayaan perumahan kakitangan awam secara konsisten meningkat anggaran 40,000 setahun, dengan purata pembiayaan RM200,000 dan jumlah pembiayaan antara RM10 bilion hingga RM12 bilion.
Beliau berkata, mereka yang belum mempunyai akaun merupakan kakitangan yang baharu dalam perkhidmatan, selain ada yang dalam senarai menunggu untuk kelulusan.
Katanya, LPPSA menyediakan pembiayaan perumahan sepenuhnya kepada kakitangan awam yang layak dengan kadar empat peratus.
Sehubungan itu katanya, kerjasama dengan Bank Islam dan Bank Simpanan Nasional (BSN) memberi pilihan kepada kakitangan awam yang ingin memiliki kediaman melebihi kelayakan mereka, untuk mendapatkan tambahan pembiayaan perumahan melalui pasangan masing-masing yang bukan penjawat awam.
“Kami membuka peluang kerjasama dengan institusi kewangan atau institusi pembiaya lain bagi memudahkan dan membantu kakitangan sektor awam mendapatkan kemudahan kredit atau pembiayaan untuk membeli kediaman idaman mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas majlis menandantangani memorandum persefahaman (MoU) antara LPPSA dengan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini.
MoU itu ditandatangani oleh Kamal, manakala Bank Islam diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd. Muazzam Mohamed dan BSN oleh Ketua Eksekutif, Datuk Yunos Abd. Ghani.
Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi LPPSA, Datuk Ahmad Badri Mohd. Zahir.
Di bawah inisiatif itu, kakitangan awam yang ingin membeli kediaman melebih had kelayakan, boleh memohon tambahan pembiayaan daripada kedua-dua bank berkenaan.
BSN memperuntukan RM100 juta hingga RM200 juta bagi tujuan itu tahun ini, manakala Bank Islam pula menyediakan peruntukan RM100 juta dan akan menambahnya sehingga RM300 juta pada tahun depan. – UTUSAN ONLINE











