DEB: Kenyataan Anwar membimbangkan - Utusan Malaysia

DEB: Kenyataan Anwar membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menganggap kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Dasar Ekonomi Baharu (DEB) baru-baru ini kononnya tidak lagi lestari dan harus digantikan dengan dasar-dasar berasaskan keperluan adalah membimbangkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata, MTEM sedar kelemahan pelaksanaan DEB pada masa lalu tetapi adalah salah untuk melaksanakan dasar tanpa mengambil kira dimensi kaum seperti dicadangkan oleh bakal Perdana Menteri tersebut.

Katanya, tindakan tanpa mengira kaum mungkin cukup untuk meningkatkan kesejahteraan kumpulan 40 peratus pendapatan terendah (B40), tetapi tidak akan berkesan untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kumpulan yang sudah memiliki kelebihan ekonomi atas faktor sistem ekonomi warisan penjajah akan lebih berjaya dengan dasar afirmatif yang mengetepikan dimensi kaum.

“Kekayaan yang kekal di kalangan kumpulan yang sama adalah tidak sihat dan sangat berbahaya di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada pertengahan bulan lalu, Anwar dilaporkan menganggap dasar ekonomi melalui tindakan afirmatif perlu dilaksanakan berasaskan keperluan seluruh rakyat dan bukannya sesuatu kaum semata-mata.

Anwar berpendapat DEB yang diwujudkan berdasarkan kaum perlu dihapuskan kerana dianggap tidak mampan untuk jangka panjang.

Ahmad Yazid bagaimanapun berkata, ekonomi bumiputera masih jauh di belakang berbanding kaum lain dengan memberikan beberapa fakta.

Antaranya pendapatan per kapita pada tahun 2014 untuk bumiputera hanya 21.7 peratus atau RM16,066 setahun berbanding pendapatan per kapita bukan bumiputera iaitu RM74,067 setahun dan bumiputera hanya memiliki 26.1 peratus aset perumahan di Malaysia walaupun penduduk bumiputera adalah tiga kali lebih besar daripada bukan bumiputera.

Tambahnya, pemohon kerja bumiputera kerap menghadapi diskriminasi pekerjaan di sektor swasta seperti syarat perlu mahir bertutur bahasa Mandarin yang mungkin merupakan alasan untuk menawarkan pekerjaan kepada pemohon kerja berbangsa Cina sahaja.

“MTEM bimbang bahawa tuntutan untuk menghapuskan tindakan afirmatif berasaskan kaum, akan membawa kepada rasa tidak peludi terhadap jurang antara kaum. Di Malaysia, hal sebegini boleh menyebabkan masalah perpaduan dan persengketaan antara kaum.

“Anwar Ibrahim harus memahami bahawa bumiputera mengharapkan beliau untuk memperbaharui DEB dan bukan menghapuskannya. Sekiranya beliau menyimpang daripada realiti ini, pastinya akan ada tindak balas negatif yang besar terhadap kerajaan.

“Sokongan bumiputra adalah penting kepada mana-mana Perdana Menteri Malaysia,” kata Ahmad Yazid.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini