Bursa Malaysia dibuka rendah - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia dibuka rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Harga saham di Bursa Malaysia meneruskan aliran lemah untuk dibuka rendah hari ini susulan sentimen pasaran global yang negatif dan kelembapan prestasi semalaman Wall Street.

Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras turun 12.50 mata kepada 1,626.57 daripada 1,639.07 ketika ditutup pada Khamis.

Prestasi sesi dagangan awal hari ini menyaksikan 325 kaunter rugi dan 46 kaunter untung manakala 180 kaunter tidak berubah, 1,346 kaunter tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jumlah dagangan sebanyak 193.24 juta unit bernilai RM85.01 juta.

Wall Street mencatatkan peningkatan awal namun kembali susut secara mengejut apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Twitter miliknya mengatakan akan mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas import China bernilai AS$300 bilion.

Ia sekali gus mewujudkan kembali kebimbangan terhadap kemelut perdagangan antara AS dan China.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun terdapat prospek pemulihan daripada prestasi terlebih jual, kelemahan berterusan di Wall Street dijangkakan mengekang peningkatan semula dalam jangka terdekat.

“Begitu juga, pasaran global yang dikejutkan oleh langkah AS untuk mengenakan tarif baharu ke atas barangan China, yang pasti akan menjejaskan pasaran tempatan.

“Keadaan itu dijangka melemahkan lagi sentimen pada akhir minggu ini, walaupun kami berpandangan kecenderungan menurun mungkin terhad kerana FBM KLCI sudah mengalami keadaan terlebih jual dan boleh meredakan potensi rendah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Di peringkat tempatan, firma pembrokeran saham itu berkata masih terdapat beberapa petunjuk penting untuk diberi perhatian oleh pelabur yang mungkin mendorong mereka tidak memasuki pasaran.

“Bagi kecenderungan menurun, sokongan berada di paras 1,635 dan 1,626. Sementara itu, paras rintangan masing-masing pada 1,650 dan 1,660.

“Kami berpandangan peningkatan semula saham berharga rendah dan saham pasaran meluas mungkin terhenti memandangkan sentimen pasaran yang lebih berhati-hati susulan ancaman tarif baharu, justeru, kami menjangkakan Indeks FBM Modal Kecil akan terjejas teruk bagi mengakhiri dagangan minggu ini,” menurutnya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini