Prestasi syarikat besar diunjur baik - Utusan Malaysia

Prestasi syarikat besar diunjur baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Para pelabur menjangkakan pres­tasi saham syarikat-syarikat besar akan lebih baik berban­ding saham syarikat kecil pada separuh kedua tahun ini.

Menurut laporan Bloomberg, indeks saham syarikat-syarikat kecil menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding penurunan 3.6 peratus dalam indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI yang memantau pres­tasi 30 syarikat terbesar.

Pelabur menjangkakan firma-firma gergasi negara akan mendapat manfaat daripada hala tuju dasar yang semakin jelas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu dan penilaian semula beberapa projek mega.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak PRU-14, lebih AS$3 bilion (RM12.43 bilion) telah dibawa keluar, bagaimanapun pelabur asing kembali dengan membeli ekuiti bersih berjumlah AS$61.4 juta (RM254.43 juta) pada Julai yang mana ia merupakan bulan kedua berturut-turut negara mencatatkan aliran masuk.

Ketua Pegawai Eksekutif Areca, Danny Wong berkata, beliau positif terhadap prestasi pasaran pada separuh kedua dan penanda aras KLCI akan menokok 10 peratus pada penutupan Jumaat ini.

Sementara itu, menurut Credit Suisse Group AG, pegangan asing jatuh di bawah paras purata selepas krisis kewangan global yang mencerminkan lebih banyak ruang bagi pelabur untuk membeli sekuriti-sekuriti berkenaan.

Ini termasuk saham-saham syarikat gergasi seperti IJM Corp. Berhad, Genting Berhad, Axiata Group Berhad, Gamuda Berhad dan CIMB Group Hol­dings Berhad.

Dalam pada itu, Pengurus Dana di Manulife Asset Mana­gement (HK) Ltd., Kenglin Tan berkata, ekonomi secara keseluruhannya diunjurkan stabil apabila kerajaan baharu sudah mula memahami kekuatan pentadbirannya.

“Kelulusan penurunan had umur mengundi baru-baru ini turut menjadikan keadaan pelaburan di Malaysia sema­kin menarik,” ujarnya.

Bagaimanapun, Pengurus Dana di GAM Investments, Rob Mumford berpandangan pasaran Malaysia tidak menarik disebabkan ke­tegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China kerana mampu memberi kesan kepada eksport negara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini