KUALA LUMPUR 2 Ogos – Seorang pemimpin muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyarankan peralihan kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilakukan selepas pertengahan tahun 2021 bagi mengelakkan persiapan jentera Pakatan Harapan terjejas menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Setiausaha Interim Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, adalah lebih elok peralihan yang dijanjikan dalam dua tahun yang mencapai ‘deadline’ pada 9 Mei 2020 melangkaui tempoh itu demi memastikan PRN berkenaan diharungi dalam keadaan kerajaan PH cukup bersedia dan stabil.
“Jika peralihan kepimpinan Pusat ini berlaku sebelum mandat kerajaan negeri Sarawak berakhir pada Mei 2021, dibimbangi `habis kacau’ dibuatnya sebab ia mengganggu strategi pilihan raya PH yang ketika itu telah dipersiapkan.
“Lagi pun peralihan kepimpinan akan memberi kesempatan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menggambarkan kepada rakyat bahawa kerajaan PH (pasca peralihan) tidak stabil.
“Jadi, kita harap peralihan jawatan Perdana Menteri (kepada bakal Perdana Menteri kelapan atau PM-8) tidak dibuat secara terburu-buru, apatah lagi ini juga baik untuk Sarawak yang memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Mengenai majlis pertemuan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan enam ketua bahagian di Kuching beberapa hari lalu, Jaziri Alkaf berkata, Bersatu akan berusaha mengembangkan sayapnya ke bahagian-bahagian Parlimen di negeri itu.
“Kita akan membantu Tan Sri Muhyiddin dan penyelaras Bersatu Sarawak, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof yang kedua-duanya bekerja keras untuk memastikan enam lagi bahagian Bersatu yang baharu ditubuhkan selain enam bahagian sedia ada,” kata beliau.
Ditanya mengenai tekad GPS akan `berperang habis-habisan’ jika PH melancarkan serangan menawan Sarawak pada PRN-12 nanti, Jaziri Alkaf menegaskan:
“Kita tidak perlu berperang. Let it be a gentleman’ game…best man win. Walaupun kami (Bersatu) kecil di Sarawak, kami masih boleh memainkan peranan besar dengan berada dalam kerajaan Pusat.”
GPS adalah gabungan parti bekas komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak ditunjangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
PRN-11 Sarawak pada 7 Mei 2016 menyaksikan Barisan Nasional Sarawak yang kini membentuk GPS, menang besar dengan meraih 72 dari 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. – UTUSAN ONLINE











