KLANG – Seorang wanita sarat mengandung terkejut apabila mengetahui suaminya yang baharu dikahwini setahun lalu merupakan penagih dadah selepas ditahan di rumah mereka di Kampung Delek di sini hari ini.
Serbuan pukul 9 pagi oleh Agensi Anti Dadah Kebabgsaan (AADK) itu turut menahan abang ipar wanita itu dan tiga rakan mereka yang kesemuanya berusia 30-an.
Sumber memberitahu, semasa serbuan dilakukan wanita yang mengandung sembilan bulan itu tidur di biliknya manakala lima suspek termasuk suami yang merupakan juruelektrik berada di ruang tamu.
Katanya, pasangan suami isteri baharu sahaja menyewa rumah tersebut seminggu lalu.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati kelima-lima suspek itu disyaki mengambil syabu pada malam tadi sebaik selesai mengemas rumah tersebut.
“Akibat penat, kelima-lima suspek kemudiannya tidur di ruang tamu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Sumber turut memaklumkan hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif syabu selain turut merampas beberapa peralatan menghisap dadah tersebut.
Ujarnya, siasatan lanjut mendapati kelima-lima suspek telah terlibat dalam penagihan dadah sejak setahun lalu.
“Mereka juga kebiasaannya akan membeli syabu pada harga RM50 bagi sepeket dadah seberat 0.5 gram,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi AADK Klang, Ezwan Shahrin Saihani mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983. – K! ONLINE











