PUTRAJAYA 1 Ogos – Lokasi kawasan Johan Setia di Klang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat iaitu bacaan 104.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan satu memaklumkan, keadaan itu disebabkan oleh aktiviti pembakaran di kawasan pertanian sekali gus menyebabkan asap jerebu di kawasan terlibat.
Ujar kenyataan itu lagi, sehingga pukul 9 pagi ini, sebanyak 64 kawasan di seluruh negara menunjukkan bacaan IPU pada tahap sederhana manakala hanya tiga kawasan pada tahap baik.
“Bacaan IPU tinggi di kawasan lain yang dicatatkan pada masa ini adalah di Nilai, Negeri Sembilan iaitu 89 manakala Cheras dan Putrajaya pula masing-masing mencatatkan bacaan IPU 85.
“Keadaan sedikit berjerebu di sekitar Lembah Klang, selatan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Pantai Barat Sarawak adalah disebabkan asap jerebu merentasi sempadan susulan kebakaran tanah dan hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut JAS lagi, laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) berpusat di Singapura semalam telah mengesan 21 titik panas di Sumatera dan 38 titik lagi di Kalimantan.
Selain itu, lima titik panas pula dikesan dalam negara ini iaitu satu di Johor dan empat lagi di Pahang serta ia akan disiasat di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Peta Jerebu Serantau ASMC menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu dari kawasan kebakaran tanah dan hutan di Riau, Jambi Sumatera, Kalimantan Barat, Tengah dan Selatan.
“Arah pergerakan angin dari arah barat daya berpotensi membawa asap jerebu dari Sumatera dan Kalimantan ke kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Barat Sarawak,” ujar JAS.
Tambah JAS, situasi negara ini masih dalam fasa Monsun Barat Daya sehingga pertengahan September ini.
“Ribut tropika Wipha menghampiri Pulau Hainan dijangka bergerak ke arah barat menghampiri utara Vietnam sekali gus mempengaruhi corak tiupan angin di samping cuaca dijangka lebih kering,” tambah jabatan itu.
Sehubungan itu, jelasnya, JAS mengambil langkah-langkah sewajarnya dengan mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka dan meningkatkan pemantauan serta rondaan operasi mencegah pembakaran terbuka melalui darat dan menggunakan drone. – UTUSAN ONLINE











