MIDF kekalkan unjuran positif ke atas sektor perbankan - Utusan Malaysia

MIDF kekalkan unjuran positif ke atas sektor perbankan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Ogos – MIDF Amanah Investment Bank Bhd yakin namun berhati-hati dengan prospek sektor perbankan tahun ini didorong peningkatan pertumbuhan pinjaman sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun sehingga Jun lepas.

Menurutnya, dua penyumbang tertinggi iaitu pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman dan pinjaman kegunaan peribadi yang masing-masing menyumbang 41.4 peratus (RM42.3 bilion) dan 23.8 peratus (RM24.3 bilion) kepada keseluruhan peningkatan pinjaman tahun ke tahun.

Jelasnya, pinjaman bagi hartanah kediaman naik 7.8 peratus tahun ke tahun kepada RM581.7 bilion manakala pinjaman bagi kegunaan peribadi melonjak 33.8 peratus tahun ke tahun kepada RM96.1 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami percaya pertumbuhan pinjaman yang mengejutkan ini didorong oleh permintaan pinjaman yang kukuh pada Mei 2019 selain penurunan kadar dasar semalaman (OPR) memandangkan dua penyumbang tertinggi tersebut adalah pinjaman berasaskan runcit,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bank itu turut mendapati pinjaman peribadi melonjak 51.6 peratus tahun ke tahun kepada RM67.9 bilion daripada 6.6 peratus tahun ke tahun pada RM47.4 bilion yang dicatatkan setakat bulan sebelum ini, sekali gus menunjukkan langkah penurunan OPR pada Mei 2019 telah menambahkan kelayakan peminjam berpotensi, menurutnya.

MIDF berkata, pinjaman perniagaan terus berada dalam aliran meningkat dengan berkembang empat peratus tahun ke tahun kepada RM773.7 bilion setakat Jun 2019, bagaimanapun pemintaan dan kelulusan bagi pinjaman ini berkurangan, mungkin disebabkan musim perayaan.

Daripada aspek deposit, bank tersebut berkata, pertumbuhan kekal kukuh dengan deposit sistem keseluruhan setakat Jun meningkat 7.7 peratus tahun ke tahun didahului deposit tetap.

Akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) pula menokok 4.4 peratus tahun ke tahun dan ini menunjukkan persaingan deposit kekal meluas dalam sistem, sebaliknya peningkatan deposit tetap perlu diberi perhatian selepas pengurangan OPR, menurutnya.

“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman buat masa ini pada 4.7 peratus, walaupun pertumbuhan pinjaman dalam sistem perbankan mengejutkan kami. Kami merasakan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada prestasi itu boleh bertahan sehingga akhir tahun ini,” kata MIDF.

Bagaimanapun, MIDF berkata, ia yakin namun berhati-hati dengan prospek sektor perbankan, khususnya selepas menyaksikan peningkatan mendadak pertumbuhan pinjaman selain optimis ia boleh meredakan isu tekanan margin faedah bersih (NIM).

Ia berkata, kesan pengurangan OPR ke atas NIM akan kembali ke tahap biasa dan masih positif untuk bank seperti aliran rendah perbelanjaan dan kos kredit rendah yang sewajarnya dapat mengurangkan kelemahan pendapatan.

“Selain itu, kami berpandangan saham perbankan, secara amnya, ketika ini berada di bawah nilai susulan asasnya kekal tidak terjejas,” kata MIDF.

MIDF juga berkata berdasarkan keadaan pasaran semasa, ia mengekalkan unjuran positif dengan pilihan utama bagi sektor itu termasuk Maybank dengan harga sasaran RM11.00, CIMB (harga sasaran RM6.80) dan Public Bank (harga sasaran RM27.20). – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini