EduCity jimat RM2.22 juta dalam 25 tahun - Utusan Malaysia

EduCity jimat RM2.22 juta dalam 25 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama pintar dengan EduCity Iskandar Malaysia (EduCity) bagi memasang panel solar di atas bumbung Kompleks Multi Varsiti dan di laluan pejalan kaki dalam kompleks berkenaan.

TNB dan anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn. Bhd. memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) dengan EduCity untuk menjana 344,816 kWh setahun yang membolehkan hab pendidikan bersepadu itu menjimatkan bil elektrik hampir RM2.22 juta bagi tempoh 25 tahun.

Ketua Pegawai Usaha Niaga TNB, Datuk Nor Azman Mufti berkata, dengan pemeteraian itu TNB kini telah memperoleh 60 kontrak dengan jumlah kapasiti sebanyak 6,000 kWp.

Memuatkan artikel berkaitan…

“TNB yanh memiliki kepakaran selama 70 tahun dalam industri tenaga dan pakar dalam menguruskan ladang solar berskala besar komited untuk melaksanakan aspirasi kerajaan dalam mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.

“Kami akan terus bekerjasama dengan organisasi dan kerajaan tempatan, industri serta hab pendidikan lain untuk mengurangkan kos elektrik melalui RE,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perjanjian SARE itu ditandatangani oleh Nor Azman yang mewakili GSPARX sementara TNB dan Iskandar Education Enterprise Sdn. Bhd. (IEESB) masing-masing diwakili oleh Ketua Pegawai Peruncitan TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengarah Iskandar Education Enterprise Sdn. Bhd., Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi.

Perjanjian itu disaksikan oleh Pengarah Urusan TNB GSPARX, Ir. Mohd. Yusrizal Mohd. Yusof; Pengerusi EduCity Iskandar Malaysia Sdn. Bhd., Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad; Ketua Operasi Peruncitan TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim dan Pengarah Iskandar Investment Berhad, Amran Hafiz Affifudin.

Melalui SARE, EduCity akan menikmati kadar tarif yang lebih rendah memandangkan tarif yang digazetkan lebih tinggi berbanding tarif solar.

Perjanjian itu juga meliputi skim Meter Tenaga Bersih (NEM) yang mana ia membolehkan EduCity memindahkan lebihan tenaga yang dijana oleh panel solar kepada TNB pada kadar sama seperti pelanggan membeli dari TNB.

TNB menyasarkan untuk menjana 1,700 MW RE menjelang 2025 selari dengan hasrat kerajaan yang mahu 20 peratus tenaga elektrik dijana melalui sumber RE. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini