KUALA LUMPUR – Program Pembangunan Renang EduCity (ESDP) yang diperkenalkan baru-baru ini adalah salah satu inisiatif pihak EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd (EduCity) dalam usaha menyemarakkan sukan berkenaan di peringkat akar umbi melibatkan Orang Asli Seletar.
Pengarah Urusan EduCity, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi berkata, ESDP bakal memberi peluang kepada pelapis-pelapis renang baharu untuk mengasah bakat mereka berpandukan kepada tiga teras utama iaitu latihan elit, klinik kejurulatihan dan pertandingan.
“ESDP bakal melibatkan tiga inisiatif utama iaitu Program Pembangunan Orang Asli Seletar, klinik kejurulatihan renang dan pertandingan novis, selain kejohanan renang EduCity Swim Meet yang telah pun diadakan setiap tahun sejak 2015.
“Inisiatif pembangunan Orang Asli Seletar akan berlangsung selama setahun dalam mencari bakat-bakat renang Orang Asli Seletar yang boleh diketengahkan ke peringkat elit manakala klinik kejurulatihan renang dan pertandingan novis akan memberikan ruang kepada pelajar sekolah di sekitar Iskandar Puteri untuk mempelajari asas sukan renang,” katanya.
Program berkenaan akan melibatkan 34 orang bakat-bakat Orang Asli Seletar berumur 9 hingga 17 tahun, salah satu daripada 18 etnik Orang Asli di Malaysia yang penempatannya terletak tidak jauh dari Iskandar Puteri dengan sokongan 6 jurulatih Kelab Ezy Swim.
ESDP mendapat sokongan daripada pemegang-pemegang taruh seperti Majlis Sukan Negeri Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Majlis Sukan-Sukan Sekolah Negeri Johor, dan Sports Johor.











