PMI Malaysia susut sedikit pada Julai - Utusan Malaysia

PMI Malaysia susut sedikit pada Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Indeks teras Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan IHS Markit Malaysia susut sedikit kepada 47.6 pada Julai berbanding 47.8 pada bulan sebelumnya.

IHS Markit berkata, data kaji selidik PMI terbabit bagi tempoh itu menunjukkan sektor pembuatan Malaysia terus berdepan keadaan perniagaan yang mencabar.

“Kelemahan permintaan terbukti terus memberi tekanan terhadap pengeluaran selain mengekang syarikat daripada meningkatkan tenaga kerja masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, kalangan perniagaan mengekalkan unjuran optimis terhadap keseimbangan dan menjangkakan pertumbuhan pengeluaran yang lebih baik dalam tempoh 12 bulan akan datang,” kata IHS Markit dalam kenyataan hari ini.

Ketua Ekonomi Perniagaan IHS Markit, Chris Williamson berkata, penyusutan PMI daripada paras lebih tinggi yang dicatat pada awal suku kedua itu turut berlaku ketika pertumbuhan ekonomi global lemah akibat kebimbangan terhadap aspek geopolitik.

Menurutnya, tinjauan PMI global itu juga menunjukkan bahawa kadar pengembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia yang paling perlahan dalam tempoh tiga tahun berlaku beberapa bulan ini dengan penyusutan aliran dagangan dan pengurangan pelaburan perniagaan menjadi antara punca utamanya.

“Ketegangan dagangan itu turut berlaku di sekitar rantau Asia Pasifik.

“Oleh itu, tidak hairanlah kalangan pengeluar Malaysia melaporkan persekitaran operasi lebih sukar dalam konteks tersebut. Bagaimanapun, data kaji selidik itu kekal menunjukkan bahawa kedua-dua output KDNK dan pembuatan berkembang pada kadar tahunan 4.5 peratus,” katanya.

Sementara itu, PMI IHS Markit itu turut melaporkan mengenai keadaan pembuatan yang terus sukar di serata ASEAN pada tempoh awal suku ketiga.

Indeks teras itu susut kepada 49.5 pada Julai daripada 49.7 pada Jun yang menunjukkan bulan kedua berturut-turut dari segi penyusutan keadaan operasi bagi pengeluar ASEAN.

Pakar Ekonomi IHS Markit, David Owen berkata, sektor pembuatan ASEAN juga kekal mencatat penurunan pada Julai.

“Kadar penyusutan itu adalah yang paling ketara sejak dua tahun lepas, didorong oleh pengeluaran dan penggajian yang rendah. Malah, syarikat terpaksa mengurangkan paras pengeluaran masing-masing berikutan pertambahan tempahan baharu yang amat sedikit sejak beberapa bulan lepas,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini