IPOH – Sebuah syarikat pembuatan besi galvani, Lysanght Galvanized Steel Bhd. hari ini didenda sebanyak RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal menyediakan sistem kerja selamat sehingga menyebabkan kemalangan maut melibatkan pekerjanya April lalu.
Hakim Norashima Khalid memutuskan demikian selepas syarikat tersebut yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chua Tia Bon mengaku bersalah setelah pertuduhan terhadap syarikat tersebut dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Lysaght Galvanized Steel Bhd. sebagai majikan didakwa gagal untuk memastikan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja memeriksa, membaiki dan menukar bumbung sehingga menyebabkan kemalangan maut ke atas Cheong Kim Loong, 55.
Kejadian itu didakwa berlaku di premis syarikat berkenaan di Kawasan Perindustrian Tasek di sini pada pukul 10 pagi 22 April lalu.
Syarikat tersebut didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama yang boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Fazira Azita Abdul Rashid sementara syarikat tersebut tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Tia Bon dalam rayuannya memohon mahkamah supaya hukuman terhadapnya dikurangkan hukuman ekoran insiden itu merupakan yang pertama berlaku dalam syarikatnya.
Tambahnya, pihak syarikat berasa sedih dengan kejadian berkenaan dan telah melaksanakan sistem penambahbaikan supaya kejadian sama tidak berulang.
Fazira Azita bagaimanapun memohon supaya hukuman setimpal dikenakan memandangkan syarikat tersebut telah beroperasi selama 40 tahun namun masih gagal mengikut prosedur ditetapkan.
Norashima kemudian menjatuhkan hukuman denda RM35,000 terhadap syarikat tersebut dan jika gagal membayar, Tia Bon boleh dikenakan hukuman penjara lapan bulan dan dia membayar denda berkenaan. – K! ONLINE











