GERIK 1 Ogos – Polis menafikan pihaknya menahan seorang wartawan wanita warga asing sewaktu perobohan sekatan Orang Asli dilakukan oleh syarikat pembalakan berlesen di Kampung Sungai Papan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Ismail Che Isa berkata, wartawan warga Romania berusia dalam lingkungan 30-an itu sebaliknya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hanya untuk tujuan dokumentasi.
“Tidak ada penahanan sebaliknya untuk dokumentasi sahaja. Semasa perobohan sekatan dilakukan oleh syarikat pembalakan antara pukul 10 hingga 11 pagi ini, wartawan berkenaan berada di situ disyaki untuk membuat liputan.
“Wanita itu merupakan warga Romania dan bekerja sebagai wartawan The Diplomat yang mempunyai pejabat di Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, wartawan berkenaan turun ke lokasi kejadian bagi menemu bual serta merakam gambar mengenai perjuangan Orang Asli bagi mempertahankan tanah adat mereka daripada kegiatan pembalakan.
Tambah Ismail, penduduk Orang Asli masih tetap membina halangan biarpun sudah beberapa kali dirobohkan oleh syarikat pembalakan tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini menjelaskan tiada istilah tanah adat yang diperuntukkan kepada mana-mana kaum di negeri ini seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Menurut Ahmad Faizal, semua pihak perlu menyedari hakikat bahawa negeri ini diduduki secara bersama, justeru tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjuang untuk tanah adat Orang Asli akan memberi kesan kepada kaum lain di negeri ini.
Ekoran kenyataan Ahmad Faizal yang dilihat sebagai tidak mengiktiraf tanah adat Orang Asli, sebuah NGO bernama Centre for Orang Asli Concerns (COAC) memaklumkan dalam laman Facebook mereka bahawa kaum peribumi itu telah mempertahankan sekatan yang dibina semula sejak Isnin lalu. – UTUSAN ONLINE











